:: Hasbi ALLAH wani'mal wakil, Wani'mal maula, Wani'man nasir 'Cukuplah ALLAH bagiku, Sebaik-baik pelindung, Sebaik-baik penjaga, Sebaik-baik penolong' ::

AMARAH MENGALIRKAN TUBA PADA TUBUH

Riak air di lopak lekuk
tiada berbayang elok
membunuh keluh
kulihat wajah keras itu putus-putus
menghela nafas panas segugus demi segugus

Sebentar tadi, 
roh amarah mengalirkan tuba pada tubuh
meninggalkan pesan perkara sepuluh

Pertama,
tiup asap berbahang ke jiwa sang celaka
biar marak meresapi aspal dupa

Kedua,
ludah pada wajahnya dengan tembang kecewa
hingga dia bertukar rupa menjadi pemeras yang mencuka

Ketiga,
kerat lidah celupar sang petualang
nipis-nipis tanpa tulang

Keempat,
racik telinga bercuping-cuping
jadi halus berkeping-keping

Kelima,
kau tikam dada kekar yang mencakar-cakar
terpancut darah hitam biar berselerak di tepi belukar

Keenam,
penggal badan si pengkhianat
hancur jadi lumat berbalut kesumat

Ketujuh,
sampaikan pesan kepada tuan haloba si bangkai dangkal
silakan gali gembur tanah kubur
tempat dia berhibur dan berlibur

Kelapan,
aku bungkam dan diam
terjaga dari lena separuh malam
terpisat pisat menggosok pandangan

Kesembilan,
Subhanallah
tuba merasuk amarahku dalam mimpi kalut
berpeluh-peluh dosa malam
ditekan khianat gelombang dendam

Kesepuluh,
Maaf kerana terlalu membenci
hingga mengganggu nyenyak tidur
dengan nyanyian dengkur
menjelang subuh syukur



:: BILA HATI MULA TERUSIK ::